Kenapa Vs Bagaimana?
Sedar
atau tidak dalam hidup kita ini perkataan “KENAPA” sering terpacul keluar
apabila kita sedang beremosi. Kita kerap kali mempersoalkan kenapa?kenapa?dan
kenapa? Walaupun terkadang tiada jawapan untuk persoalan itu, kita masih lagi
terus terusan mempersoalkannya. Sama ada kepada individu lain ataupun sekadar
bermonolog! Semakin kita mempersoalkan “KENAPA”, emosi kita turut semakin tidak
tentu hala umpama kapal yang tiada layar.
Apabila
kita diuji atau ditimpa musibah yang berlegar di minda kita paling tidak pun
adalah perkataan ini, “Ya Allah kenapalah
aku diuji sebegini?” atau “Kenapa mesti
aku?” dan banyak lagi ungkapan yang hanya menambah kesedihan dihati.
Akibat
daripada terlalu taksub dengan perkataan
kenapa ini, akhirnya diri sendiri yang menjeruk rasa. Kerana Apa? Kerana, “KENAPA”
tidak akan membawa kita kemana-mana Malah hanya merintih dan seolah-oleh membawa
jiwa kita mengenangkan peristiwa-peristiwa yang mengundang persoalan “KENAPA”?
Sedangkan
dalam kitab suci AlQuran ada menyebut, bahawa Allah
tidak akan membebankan hambanya di luar kemampuannya untuk menanggung. Apabila
berpegang pada ayat ini adakah perlu kita mempersoalkan “KENAPA”? Oleh
itu lebih baik apabila kita sedang diuji atau dilanda musibah, kita tidak perlu
mempersoalkan “KENAPA”? Sebaliknya kita tukarkan kepada “BAGAIMANA”?
Contohnya
apabila kita diuji, jika kita sebelum ini Kita akan berkata “Ya Allah kenapalah aku diuji sebegini?” maka
cuba kita tukar kepada “Ya Allah Bagaimana
cara untuk aku menghadapi ujian ini?”
Dengan
menukar perkataan “Kenapa?” kepada “Bagaimana?”, ia bukan sahaja melatih
emosi kita supaya lebih tenang, bahkan memberi ruang kepada akal kita untuk berfikir apa yang
perlu dilakukan, bukan apa yang telah berlaku. Bukankan itu lebih baik?dan
bukankan itu yang akan lebih membuka jalan, member ruang dan peluang kepada
kita untuk lebih ikhlas menerima segala yang datang dariNya.
Oleh
itu latihlah diri kita untuk mencari ruang dan peluang disebalik semua yang
terjadi. Pandanglah setiap yang diaturkan olehNya dari sudut yang positif.
Jangan biarkan diri kita tenggelam disebalik kekecewaan sehingga lupa segala
nikmat kehidupan yang lainnya. Yakinlah pada janji ALLAH, akan ada kemudahan
selepas kesulitan.
“…Kerana sesungguhnya sesudah
kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada
kemudahan.”(Surah al-Insyirah: 5-6)
Sekian. Wassalam.