Mind & Soul Excellence. Knowledge. Love. Pleasure. Nature. Poem.Life. ~Menapaki jalan di bumi ALLAH; Syukur Segalanya~
~Learning Have No Quota~ Keep Learning As Long As U Can~ Stay Humble + Positive ~ respect others~ Always Sharing~ Be Honest And Be Thankful ~AdidRashid~
Ahad, 21 Jun 2015
Sabtu, 2 Mei 2015
Baka dan Persekitaran Membentuk kanak-kanak (Psikologi Kanak-kanak)
BAKA DAN PERSEKITARAN BERINTERAKSI MEMBENTUK SESEORANG KANAK-KANAK.
Terdapat
tiga elemen dan konsep utama dalam baka dan persekitaran berinteraksi dalam
pembangunan dan pembentukan seseorang kanak-kanak. ia adalah Reaction Range atau Reaksi Pelbagai, Canalisation, korelasi genetik-persekitaran dan persekitaran yang
mempengaruhi ekspresi gen (Choo, 2012).
Reaction range merujuk
kepada setiap manusia adalah unik. Secara semula jadi ia akan memberi tindak
balas kepada persekitaran. Gen yang tidak sesuai dengan tingkah laku dalam
sesuatu keadaan boleh mewujudkan pelbagai kemungkinan yang bergantung sepenuhnya
kepada keadaan persekitarannya. Dua perkara penting dalam Reaction Range (Choo, 2012) adalah, pertama, tindak balas
terhadap persekitaran yang sama bagi individu yang berlainan adalah berbeza.
Ini kerana setiap individu yang mempunyai genetik yang unik. Kedua, kadangkala
perbezaan antara genetik dan persekitaran menjadikan dua individu yang
berlainan kelihatan sama. Oleh yang demikian Reaction Range menunjukkan bahawa gabungan unik antara baka dan
persekitaran boleh mendorong persamaan dan perbezaan dalam pembentukan tingkah
laku.
Sebagai contoh, jika seorang kanak-kanak lahir di
dalam persekitaran yang miskin, genetik mereka boleh meletakkan had khusus
kepada sejauh mana kebolehan kognitif mereka boleh berkembang. Kanak-kanak ini
mungkin menunjukkan keupayaan yang sangat rendah di bawah persekitaran yang
miskin, dan tahap keupayaan yang hanya sedikit lebih tinggi dengan pencapaian
di bawah persekitaran yang lebih mewah atau kaya. Dalam kes ini, kita akan
berkata kanak-kanak mempunyai Reaction
Range yang kecil. Berbanding dengan seorang lagi kanak-kanak dengan
genetik yang berlainan boleh menyesuaikan sedikit lebih baik dalam persekitaran
yang miskin tetapi amat baik dalam persekitaran yang mewah atau kaya.
Kanak-kanak ini akan menunjukkan Reaction
Range yang lebih
besar dalam bertindak balas.
Canalisation merupakan metafora untuk melihat bagaimana baka
boleh menyekat perkembangan terhadap sesuatu trait. (Choo,
2012). Ia merupakan kebolehan baka
dalam menyekat beberapa perkembangan sesuatu watak kepada satu atau beberapa
hasil. Contohnya, setiap bayi akan mengikuti fasa seperti duduk merangkak dan
berjalan, namun tahap kognitif dan personaliti berubah bergantung pada
persekitaran.
Korelasi genetik-persekitaran pula merujuk kepada
bagaimana genetik individu mempengaruhi persekitaran di mana kita terdedah dan
cara bagaimana ia berubah mengikut umur (Choo, 2012). Ia mempunyai tiga konsep
yang dikenali sebagai Korelasi Pasif, Korelasi Evocative , dan juga korelasi aktif. Korelasi pasif adalah terjadi
ketika ibu bapa menentukan persekitaran yang tertentu untuknya. Sebagai contoh jika ibu bapa mempunyai bakat dalam
lukisan, maka persekitaran dibentuk mengikut bakat genetik dan seterusnya
mempengaruhi perkembangan anaknya. Korelasi evocative
terjadi ketika karakteristik anak membangkitkan jenis lingkungan tertentu. Sebagai contoh, bayi yang aktif dan mesra lebih mudah
mendapat dorongan yang positif dan galakan dari ibu bapanya. korelasi aktif pula terjadi ketika anak-anak mencari atau memilih lingkungan
yang mereka rasakan sesuai dan mengikut minat. Contohnya kanak-kanak yang mempunyai genetik dan bakat dalam penulisan
akan cenderung memilih aktiviti yang sama di sekolah.
Persekitaran
mempengaruhi ekspresi genetik pula membawa maksud persekitaran juga boleh
mengubah atau mempengaruhi aktor genetik ia termasuk faktor-faktor seperti hormon dan
metabolisme. Satu pengaruh persekitaran dalaman utama yang memberi kesan gen
adalah jantina. Begitu juga,
ubat-ubatan, bahan kimia, suhu, dan cahaya adalah antara faktor persekitaran
luaran yang boleh menentukan gen dihidupkan dan dimatikan, Maka inilah yang
dimaksudkan dengan persekitaran mempengaruhi ekspresi genetik.
Interaksi
antara baka dan persekitaran sangat penting dalam pembentukan seseorang
kanak-kanak. Ini kerana baka menentukan had perkembangan manakala persekitaran
pula akan mempengaruhi dan membantu individu dalam mencapai tahap perkembangan
yang optimum. Genetik dan persekitaran yang berbeza akan membentuk personaliti
kanak-kanak yang berbeza. Sebagai contoh, jika seorang kanak-kanak lahir dalam
keluarga yang mengambil bidang perubatan, dengan faktor genetik kepintaran baka
itu, kanak-kanak boleh mengikut jejak langkah ibu bapanya. Namun, jika dia
tidak diberi pendedahan tentang bidang perubatan, sebaliknya ibu bapa membentuk
persekitaran lain atau kecenderungan di sekolah adalah berbeza. Ada kemungkinan
besar kanak-kanak tersebut tidak memilih
bidang perubatan. Walaupun baka memainkan peranan penting, namun perlu juga
persekitaran untuk memberi pendidikan atau tarbiah kepada anak-anak. Sesetengah
kanak-kanak sememangnya dilahirkan dengan IQ yang tinggi. Namun tidak bererti
mereka yang tidak dilahirkan dengan IQ yang tinggi tidak boleh berjaya dan
tidak boleh mencapai IQ yang tinggi. Di sinilah faktor persekitaran memainkan
peranannya.
PERSEKITARAN BOLEH MEMBENTUK PERKEMBANGAN ANAK ANDA.
Persekitaran yang baik sangat
penting dalam membentuk perkembangan anak-anak. Seperti yang kita sedia maklum,
baka sememangnya mempengaruhi pertumbuhan, namun ia kurang berpengaruh terhadap
perkembangan. Persekitaran pula mempengaruhi kedua-duanya sekali. Antara tokoh
yang mengkaji secara mendalam tentang faktor persekitaran adalah Urie
Bronfenbrenner. Beliau terkenal dengan teori ekologi (Hq, 2015), iaitu perkaitan
antara pengaruh persekitaran dengan tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.
Dalam teori ini terdapat lima peringkat yang mempengaruhi ekologi itu sendiri.
(a) sistem makro (b) sistem messo (c) sistem ekso (d) sistem makro dan (e)
sistem krono.
Sistem
makro adalah di mana seseorang kanak-kanak
itu banyak menghabiskan masanya. Dalam ruangan ini kanak-kanak
berinteraksi secara langsung dengan ahli keluarga terdekat, seperti ibu bapa,
adik-beradik, rakan sekolah, jiran-jiran, rakan sebaya dan juga masyarakat
setempat. Sistem messo
pula adalah melihat kepada bagaimana kanak-kanak berinteraksi dan mengaitkan
pengalaman sendiri kepada komuniti. Di ruangan ini interaksi pelbagai hala akan
berlaku. Sistem ekso pula merujuk kepada pengalaman yang diterima secara
langsung mahupun tidak kanak-kanak tersebut. Sistem makro adalah melibatkan
sosio-budaya yang lebih luas. Di sini budaya, norma, nilai dan kepercayaan
individu memainkan peranan. Yang terakhir adalah sistem krono iaitu merujuk
kepada sejarah dan kronologi pengalaman perkembangan kanak-kanak yang memberi
impak kepada perkembangan emosi.
Asyraf, anak yang berusia 5 tahun.
Merupakan seorang kanak-kanak yang bijak dan cepat belajar melalui
persekitaran. Asyraf juga seorang yang mudah mesra dengan individu yang
menunjukkan kemesraan kepada beliau. Mempunyai fizikal yang agak berisi, faktor
pemakanan amat dititikberatkan. Beliau menunjukkan ciri-ciri berani mencuba
sesuatu yang baru dan suka meneroka keadaan sekeliling dan pandai menguruskan
diri sendiri. Beliau juga akan menurut perintah seandainya ibu bapa atau
sesiapa saja meminta pertolongan. Asyraf
juga mempunyai seorang adik yang berusia 3 tahun. Beliau menunjukkan sikap
tanggungjawab terhadap adiknya. Namun ada kalanya beliau tidak mengendahkan
adiknya. Keletah dan kemesraan beliau terhadap individu-individu sekeliling
membuatkan dia begitu disenangi. Beliau menunjukkan ciri yakin diri dan
mempunyai self-esteem yang tinggi. Walau bagaimanapun, persekitaran kejiranan
dan rakan sepermainan yang lebih besar dari usianya membuatkan Asyraf
terikut-ikut dengan penggunaan bahasa yang tidak sihat. Berlatarbelakangkan
keluarga yang sememangnya berniaga dan kerap berkomunikasi dengan orang ramai,
menjadikan Asyraf secara genetik sememangnya mudah mesra. Faktor persekitaran
pula yang membentuk Asyraf menjadi lebih bijak adalah, mempunyai ibu bapa yang
membentuk persekitaran yang sesuai. Seterusnya faktor pembelajaran sama ada
secara langsung atau tidak, secara formal atau tidak, telah membentuk watak dan
trait personaliti beliau. Sistem pelaksanaan peraturan dipraktikkan dalam
keluarga. Oleh yang demikian, sekiranya anak ini ada membuat kesilapan, maka
peneguhan negatif atau hukuman akan dikenakan bersesuaian dengan keadaan. Ini adalah bagi membentuk disiplin anak ini.
Faktor sosio-ekonomi juga menjadi faktor persekitaran yang menyumbang kepada
pembentukan anak ini. Ini kerana Asyraf lebih terdedah kepada persekitaran
luaran. Seperti ke pusat-pusat membeli belah, restoran-restoran, dan pelbagai
aktiviti luaran yang menjadikan beliau terdedah kepada persekitaran umum dan
seterusnya belajar melalui pemerhatian. Cara didikan dan asuhan juga sangat
penting, penerapan nilai-nilai dan akhlak yang mulia perlu sejak dari awal
perkembangan.
Berbanding dengan Asyraf, Rina yang usianya
sama seperti Asyraf tidak begitu bernasib baik. Ini kerana, latar belakang
keluarga yang agak bermasalah dan tidak teratur. taraf ekonomi yang rendah,
mempunyai adik-beradik yang ramai, tinggal di kawasan kampung yang agak jauh
dari bandar menjadikan Rina seorang kanak-kanak yang pasif. Apabila bertemu
saudara mara mahupun sepupu yang dalam lingkaran umur yang sama, Rina lebih
gemar mendiamkan diri. Beliau tidak akan bercakap dengan individu yang kurang
rapat dengannya, kecuali setelah mengambil masa yang agak lama untuk mewujudkan
kepercayaan seterusnya keselesaan. Kebergantungan Rina terhadap ibunya sangat
tinggi. Ini kerana dalam keadaan keluarga yang ramai dan ibu bapa yang
mempunyai masalah perhubungan, ini menyebabkan Rina tidak rapat dengan bapanya.
Selain itu beliau juga mempunyai self-esteem
yang rendah. Apabila Rina dibawa ke bandar oleh saudara maranya, jelas
kelihatan beliau agak janggal dan tidak biasa dengan persekitaran luar. Naluri
kanak-kanaknya akan terserlah dan beliau merasa teruja. Oleh sebab Rina tidak
didedahkan dengan persekitaran luar sosial, sebagai contoh, apabila ke restoran
KFC beliau tidak tahu apa jenis makanan yang beliau inginkan dan hanya menerima
apa sahaja yang diberikan kepada beliau. Dari segi emosi, Rina merupakan kanak-kanak
yang mudah tersentuh. Ini mungkin disebabkan persekitaran dalam rumah di mana
beliau kerap melihat ibu dan bapanya bergaduh. Dari segi perkembangan kognitif
pula Rina mempunyai masalah pada tahap pembelajaran mengikut tahap umurnya.
Fizikal Rina juga tidak seimbang, ini mungkin kerana faktor pemakanan sihat
yang tidak dijaga.
Dalam situasi ini, Asyraf lebih
bernasib baik dari Rina. Persekitaran membentuk personaliti dan pembawaan diri
mereka. Persekitaran yang baik membentuk anak-anak ke arah yang lebih positif
dan unggul berbanding sebaliknya. Persekitaran yang tidak sihat akan menjadikan
kanak-kanak lebih pasif dan memberi kesan negatif dalam jangka masa panjang.
Maka apabila ibu bapa sedar tentang perkara ini, berusahalah untuk mencipta persekitaran
yang sihat.
Kesimpulannya,
faktor baka dan faktor persekitaran sangat berkait rapat dalam pertubuhan dan
perkembangan manusia. Kedua-dua faktor ini tidak dapat dipisahkan kerana setiap
daripadanya menyumbang ke arah membentuk seseorang individu. Untuk menjadi
individu dan membentuk kanak-kanak yang holistik, kedua, dua faktor ini perlu
sama dititikberatkan tanpa dipisahkan. Ini kerana baka dan persekitaran
berinteraksi antara satu sama lain dan
saling melengkapi seseorang individu.
Faktor baka sememangnya diwarisi,
maka ia akan menjadi bawaan pada kanak-kanak. Namun untuk membentuk pertumbuhan
dan perkembangan kanak-kanak yang baik maka persekitaran yang baik juga
diperlukan. Persekitaran merupakan faktor luaran yang boleh diubah mengikut
kesesuaian keadaan. Ia tidak seperti faktor baka yang sememangnya menjadi
genetik. Sebagai contoh, kanak-kanak yang mempunyai bapa seorang yang pemarah
akan mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk mendapat sifat yang sama. Namun
sifat negatif ini boleh diatasi faktor persekitaran, seperti pembelajaran dan sebagainya.
Institusi keluarga terutama peranan
ibu bapa sangat penting bagi memastikan pembentukan kanak-kanak berlangsung
dalam keadaan yang baik. Ilmu keibubapaan perlu bagi menyediakan mereka
menghadapi proses tumbesaran kanak-kanak. Apabila ibu bapa mencipta dan
mencorakkan persekitaran yang proaktif, maka kanak-kanak akan membentuk dan
berkembang menjadi manusia unggul.
Rujukan
Choo, O. Y. (2012). Child Psychology. Selangor: Open University
Malaysia.
Hq, P. (2015). http://www.psychologynoteshq.com/bronfenbrenner-ecological-theory/.
Retrieved November 1, 2015, from www.psychologynoteshq.com.
Keenan, T. (2002). An Inroduction of Child development. London:
Sage Publications LTD.
Kellert, S. R. (2002). Experiencing heredity and environment Affective,
emotion and evaluative development in children. Child and Nature ,
121-147.
Selasa, 21 April 2015
Tidur dan Fungsinya Kepada Manusia
Apa Itu Tidur
Secara
umumnya tidur merupakan fasa rehat minda dan tubuh badan di mana individu itu
berada pada keadaan tidak sedar. Reaksi pada rangsangan sekeliling akan menurun
atau hilang. Namun seseorang individu itu akan kembali sedar dalam tempoh
tertentu. Tidur juga amat berkait rapat
untuk menjaga keseimbangan emosi, fisiologi pemikiran, tingkah laku juga
kesihatan seseorang individu.
Terdapat pelbagai definisi tidur. Menurut James Drever di dalam A dictionary of psychology, Sleep is A
physiological state, not clearly understood, of relative immobility and failure
of adequate conscious response to stimuli. (Drever, 1968)
Jika dirujuk kepada Kamus Psikologi Oxford pula tidur membawa
maksud “ A Periodic state of muscular relaxations, reduce metabolic rate, suspended
consciousness in which a person largely unresponsive to event in the
environment. (Colman, 2014)
Menurut perspektif Islam,
tidur adalah sunah dan rahmat Allah S.W.T. Tidur Dianugerahkan kepada manusia
keadaan fizikal seseorang manusia itu lemah dan terbatas. Oleh yang demikian
tidur diperlukan untuk memulihkan stamina. (Abdul Mujib , Jusuh Mudzakir,
2001). Firman Allah S.W.T dalam surah An-Naba, ayat 9 bermaksud “dan kami telah jadikan tidurmu untuk
istirahat”. Ayat ini jelas menunjukkan betapa tidur itu mempunyai
kepentingan bagi setiap manusia.
Terdapat dua teori utama
berkenaan dengan tidur. Pertama adalah Teori Pembaikan atau Pemulihan. Kedua
adalah teori Evolusi atau Circadian. (Asha Angela Bogenfurst, Dr Wong Huey
Siew, Noor Hassline Mohamed, 2013). Teori Pembaikan atau pemulihan menjelaskan
bahawa tidur membantu individu untuk pulih dari keletihan fizikal, mental dan
cabaran emosi. Manakala menurut Teori Evolusi atau Circadian, tidur merupakan
sebahagian daripada ritma biologi dan berkembang sebagai satu cara menjimatkan
tenaga. Teori ini menjelaskan spesis yang berbeza menghasilkan pola dan corak
tidur yang berbeza.
Tidur mempunyai lima
peringkat. Di mana setiap peringkat mempunyai proses-proses
yang tertentu. Peringkat ini dibahagiakan kepada dua fasa. Pertama adalah fasa Non Rapid Eye Movement (NREM). Tidur
Peringkat pertama sehingga ke empat termasuk ke dalam fasa ini. Kedua adalah
fasa Rapid Eye Movement (REM),
peringkat terakhir iaitu yang kelima dikategorikan dalam fasa ini.
Peringkat pertama menunjukkan proses
tidur itu bermula, iaitu antara 1 hingga 10 minit pertama. Pada ketika
ini suhu badan, kadar jantung dan ketegangan otot mula menurun. Ketika ini jika
terdapat rangsangan ringan seperti bunyi-bunyian, ia boleh mengejutkan tidur
seseorang. Peringkat ke-2 antara minit 10 hingga 25. Gelombang pada otak mula
berubah. Tidur menjadi lebih lena. Pada peringkat ini juga dikenali sebagai “Nap Time”. Pada peringkat ini juga,
rangsangan ringan boleh membuatkan individu terjaga. Pada peringkat ke-3,
kebiasaannya minit ke-30 dan seterusnya. Tidur menjadi lebih nyenyak. Pada
peringkat ini, hanya rangsangan yang kuat sahaja akan membuatkan individu
terjaga. Peringkat Ke-4 fungsi badan
lebih direhatkan ,pernafasan menjadi lebih perlahan dan terkawal. Pada
peringkat ini tidur paling nyenyak. Ke empat-empat peringkat di atas termasuk
dalam fasa Non Rapid Eye Movement (NREM). Peringkat ke-5, adalah peringkat di mana mata
mula bergerak-gerak mengikut gelombang otak. Namun pada saat ini tubuh tidak
bergerak. pada peringkat ini juga mimpi berlaku. Kebiasaannya seseorang
individu mengambil masa 2 jam sebelum sampai ke peringkat ini.
Tidak semua individu
dapat tidur dengan sempurna. Terdapat 2 kategori utama kecelaruan tidur menurut
Manual Diagnostik dan
Statistik Gangguan Mental (DSM), iaitu Dissomnia dan Parasomnia.
Kecelaruan tidur di bawah kategori Dissomnia adalah Insomnia,
Hipersomnia, narcolepsy dan Sleep Apnea. Manakala di bawah kategori
Parasomnia adalah gangguan mimpi buruk (Nightmare
disorder), gangguan terror tidur (Sleep
terror disorder) dan tidur berjalan (Sleep
walking disorder) atau dikenali
sebagai Jalu bagi Masyarakat Melayu.
Keperluan jangka masa dan
jam tidur juga adalah berbeza mengikut
peringkat umur. Menurut National Sleep
Foundation, Keperluan
tidur berbeza-beza di seluruh peringkat umur dan memberi kesan
terutamanya oleh gaya hidup dan kesihatan. Untuk menentukan berapa banyak tidur
yang diperlukan, bukan sahaja keperluan tidur,
tetapi juga untuk mengenal pasti
gaya hidup dan faktor yang mempengaruhi kualiti dan kuantiti tidur itu
sendiri.
(Foundation, 2015)
Fungsi Tidur
Jika
dilihat dari sudut neurosains, tidur mempunyai fungsi yang sangat penting pada
manusia dan mempunyai prosesnya tersendiri. Proses bermula Impuls Saraf bergerak dan berhubung dengan sel-sel otak yang lain,
kemudian sejenis kimia terhasil Neurotransmitter
. seterusnya pembentukan Monoamine Neurotransmitter dan
menghasilkan hormon Melatonin yang akan menyebabkan individu itu mengantuk dan seterusnya berkeinginan
untuk tidur.
Terdapat
banyak penelitian yang dijalankan untuk mengkaji berkenaan tidur, fungsi dan
kesannya. Di antara teori yang dikemukakan adalah Teori Restorasi (Restoration Theory Of Sleep). Oswald
mencadangkan bahawa tidur diperlukan jenis tidur bagi memulihkan fungsi biologi
yang berbeza. Rapid Eye Movement
(REM) berfungsi untuk pertumbuhan otak, pembaikan dan penyusunan semula. Slow Wave Sleep (SWS) berfungsi untuk
pertumbuhan badan dan pembaikan. Horne memperluaskan lagi teori Oswald ini.
Beliau mencadangkan bahawa tidur dibahagikan ke dalam tidur teras (REM dan SWS)
dan pilihan tidur. Beliau mencadangkan bahawa pemulihan otak dan membaiki
berlaku semasa tidur teras. Pemulihan badan berlaku semasa tidur pilihan,
tetapi juga boleh berlaku pada masa yang lain contohnya ketika santai. (psychlotron, 2005-2008)
Teori ini boleh dianalogikan dengan
Kereta. Kereta yang digunakan perlu diselenggara dengan baik dan mengikut waktu
yang ditetapkan. Jika kereta tidak, ia masih boleh digunakan, namun akan
mengalami kerosakan bermula dari kecil sehingga yang lebih parah.
Berdasarkan Teori Restorasi ini,
terdapat enam fungsi utama dalam tidur. Pertama adalah pembaikan dan pemulihan
sel otak. Apabila tidur, otak manusia akan lebih berehat dan memperbaiki neuron-neuron
yang rosak. Tidur juga akan menjadikan sel-sel otak segar dan kembali berhubung
antara sel-sel otak yang jarang digunakan. Ketika tidur, proses penyimpanan
maklumat di dalam otak juga berlaku.
Kedua adalah Menyusun semula memori.
Tidur memberi kesempatan kepada otak untuk menyusun semula data-data atau
memori terhadap sesuatu perkara. Ini biasa terjadi contohnya, apabila seseorang
individu itu terlalu rungsing mengenai
sesuatu perkara, dan kemudian tidur, apabila sedar keadaan individu tersebut
akan lebih segar dan mungkin mempunyai idea-idea berkenaan perkara yang
merungsingkan tersebut. Ini kerana apabila tidur gelombang otak berada pada
tahap yang sangat tenang dan teratur. Selain itu tidur juga dapat membantu
memelihara daya ingatan seseorang individu itu.
Ketiga adalah meningkatkan energi.
Tidur boleh menghasilkan metabolisma tubuh dan ketika ini tenaga yang digunakan
sangat rendah. Oleh yang demikian ia dapat melancarkan proses metabolisma
karbohidrat di dalam tubuh. Kerana itu apabila individu letih memerlukan tidur,
dan akan lebih bertenaga selepas itu. Ini juga kerana tidur memulihkan pusingan
biologi dalam badan manusia, serta meningkatkan produktiviti.
Keempat adalah berkaitan sistem kardiovaskular. Tidur
dapat mengurangkan risiko serangan jantung. hasil dari penelitian para ilmuan
dalam bidang ini mendapatkan bahawa ketika tidur, tekanan darah akan berkurang
sebanyak 20-30%, manakala kadar denyutan jantung berkurang sebanyak 10-20%. Oleh yang demikian tidur dapat meningkatkan
tahap kesihatan.
Kelima adalah berfungsi untuk
memperbaiki enzim dan otot-otot pada tubuh. Ketika tidur, sel-selyang telah
lama atau rosak akan digantikan dengan sel yang baru. Proses penyembuhan lebih
cepat berlaku ketika tidur. Ketika tidur, hormon penyembuhan semula jadi
manusia akan berlaku.(Chek, 2006). Ini kerana ketika tidur hormon Melatonin
akan memainkan peranan.
Keenam adalah tidur berfungsi menghasilkan
hormon. Ketika tidur hormon dihasilkan dalam darah. Sebagai contoh hormon
pertumbuhan kanak-kanak dan remaja berperanan dalam pencapaian kematangan dan
reproduksi dihasilkan ketika tidur.
Selain daripada teori di atas.
Terdapat juga kajian yang dijalankan oleh seorang ilmuan barat, Reut
Gruber (Gruber, 2012)mengenai fungsi
tidur dan kesan terhadap sistem pembelajaran kanak-kanak dan remaja. Pertama
tidur berfungsi meningkatkan memori dalam berkaitan pembelajaran yang
dipelajari. Ketika tidur hubungan anatara pembelajaran baru diaktifkan. Kedua tidur
meningkatkan kejayaan akademik dan fungsitingkahlaku pelajar. Ini dapat
dibuktikan dengan pelajar yang kurang tidur, kurang aktif pada sesi
pembelajaran berbanding dengan pelajar
yang mendapatkan tidur dengan cukup. Ketiga, tidur berfungsi untuk
menyeimbangkan emosi, tekanan dan rangsangan. Kurang tidur akan merosakkan
kesihatan fizikal mahupun emosi.
Menurut Richard H.Hall (Hall, 1998),
umumnya tidur berfungsi sebagai satu proses rehat dan pemulihan badan manusia.
Tetapi, tidur juga sangat memainkan peranan penting dalam fungsi rehat dan
rawat pada otak manusia. Aliran darah akan berkurangan ke otak secara mendadak
ketika individu tidur pada tahap gelombang delta.
Fungsi
Tidur pada saat Rapid Eye Movement
(REM) akan mempengaruhi hubungan baru antara korteks dan sistem neuroendokrin
yang menuju ke otak. Manakala pada fasa Non
Rapid Eye Movement(NREM) lebih kepada
fungsi memadamkan dan menggantikan memori dan sinaps yang berlebihan di otak.
Ketika ini juga sistem aliran darah ke seluruh otak semakin menurun.
Rujukan
Abdul Mujib ,
Jusuh Mudzakir. (2001). Nuansa-Nuansa Psikologi Islam. Jakarta: PT Raja
Grafindo Persada.
Asha Angela
Bogenfurst, Dr Wong Huey Siew, Noor Hassline Mohamed. (2013). Intoduction To
Psychology. Kuala Lumpur: Open University Malaysia.
Chek, M. R.
(2006). Kuasa Minda Separa Sedar. Kuala Lumpur: PTS Publishing House.
Colman, A. M.
(2014). Dictionary Of Psychology. New York: Oxford University Press.
Drever, J. (1968).
A Dictionory Of Psychology. Maryland: Penguin Books.
Foundation, N. S.
(7 Jun, 2015). How Much Sleep Do We Really Need? Arlington, Arlington, USA,
USA.
Gruber, R. (2012).
The Relevance of sleep to education for children and Adolescent. Canadian
Psychology , 63.
Hall, R. H. (1998).
Functions Of Sleeps.
Mohamed, M. N.
(2014). Pengantar Psikologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.
Psychlotron. (2005-2008). http://www.psychlotron.org.uk/.
Retrieved 7 Jun, 2015, from www.psychlotron.org.uk:
http://www.psychlotron.org.uk/resources/sleep/A2_AQA_sleep_restorationtheory.pdf
Toyyarah, D. N. (2009). Mausuah
al-I'jazil Qurani Fil UlumWat Tib Wal Falak. Beirut: Dar al khair.
Langgan:
Catatan (Atom)