~Learning Have No Quota~ Keep Learning As Long As U Can~ Stay Humble + Positive ~ respect others~ Always Sharing~ Be Honest And Be Thankful ~AdidRashid~

Selasa, 21 April 2015

Tidur dan Fungsinya Kepada Manusia



Apa Itu Tidur

Secara umumnya tidur merupakan fasa rehat minda dan tubuh badan di mana individu itu berada pada keadaan tidak sedar. Reaksi pada rangsangan sekeliling akan menurun atau hilang. Namun seseorang individu itu akan kembali sedar dalam tempoh tertentu. Tidur juga  amat berkait rapat untuk menjaga keseimbangan emosi, fisiologi pemikiran, tingkah laku juga kesihatan seseorang individu.
Terdapat pelbagai definisi tidur. Menurut James Drever di dalam A dictionary of psychology, Sleep is A physiological state, not clearly understood, of relative immobility and failure of adequate conscious response to stimuli. (Drever, 1968)
Jika dirujuk kepada Kamus Psikologi Oxford pula tidur membawa maksud “ A Periodic state of muscular  relaxations, reduce metabolic rate, suspended consciousness in which a person largely unresponsive to event in the environment. (Colman, 2014)

Menurut perspektif Islam, tidur adalah sunah dan rahmat Allah S.W.T. Tidur Dianugerahkan kepada manusia keadaan fizikal seseorang manusia itu lemah dan terbatas. Oleh yang demikian tidur diperlukan untuk memulihkan stamina. (Abdul Mujib , Jusuh Mudzakir, 2001). Firman Allah S.W.T dalam surah An-Naba, ayat 9 bermaksud “dan kami telah jadikan tidurmu untuk istirahat”. Ayat ini jelas menunjukkan betapa tidur itu mempunyai kepentingan bagi setiap manusia.

Terdapat dua teori utama berkenaan dengan tidur. Pertama adalah Teori Pembaikan atau Pemulihan. Kedua adalah teori Evolusi atau Circadian. (Asha Angela Bogenfurst, Dr Wong Huey Siew, Noor Hassline Mohamed, 2013). Teori Pembaikan atau pemulihan menjelaskan bahawa tidur membantu individu untuk pulih dari keletihan fizikal, mental dan cabaran emosi. Manakala menurut Teori Evolusi atau Circadian, tidur merupakan sebahagian daripada ritma biologi dan berkembang sebagai satu cara menjimatkan tenaga. Teori ini menjelaskan spesis yang berbeza menghasilkan pola dan corak tidur yang berbeza.

Tidur mempunyai lima peringkat. Di mana setiap peringkat mempunyai proses-proses yang tertentu. Peringkat ini dibahagiakan kepada dua fasa. Pertama adalah fasa Non Rapid Eye Movement (NREM). Tidur Peringkat pertama sehingga ke empat termasuk ke dalam fasa ini. Kedua adalah fasa Rapid Eye Movement (REM), peringkat terakhir iaitu yang kelima dikategorikan dalam fasa ini.

Peringkat pertama menunjukkan proses  tidur itu bermula, iaitu antara 1 hingga 10 minit pertama. Pada ketika ini suhu badan, kadar jantung dan ketegangan otot mula menurun. Ketika ini jika terdapat rangsangan ringan seperti bunyi-bunyian, ia boleh mengejutkan tidur seseorang. Peringkat ke-2 antara minit 10 hingga 25. Gelombang pada otak mula berubah. Tidur menjadi lebih lena. Pada peringkat ini juga dikenali sebagai “Nap Time”. Pada peringkat ini juga, rangsangan ringan boleh membuatkan individu terjaga. Pada peringkat ke-3, kebiasaannya minit ke-30 dan seterusnya. Tidur menjadi lebih nyenyak. Pada peringkat ini, hanya rangsangan yang kuat sahaja akan membuatkan individu terjaga. Peringkat Ke-4  fungsi badan lebih direhatkan ,pernafasan menjadi lebih perlahan dan terkawal. Pada peringkat ini tidur paling nyenyak. Ke empat-empat peringkat di atas termasuk dalam fasa Non Rapid Eye Movement (NREM). Peringkat ke-5, adalah peringkat di mana mata mula bergerak-gerak mengikut gelombang otak. Namun pada saat ini tubuh tidak bergerak. pada peringkat ini juga mimpi berlaku. Kebiasaannya seseorang individu mengambil masa 2 jam sebelum sampai ke peringkat ini.

Tidak semua individu dapat tidur dengan sempurna. Terdapat 2 kategori utama kecelaruan tidur menurut Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM), iaitu Dissomnia dan Parasomnia.
Kecelaruan tidur di bawah kategori Dissomnia adalah Insomnia, Hipersomnia, narcolepsy dan Sleep Apnea. Manakala di bawah kategori Parasomnia adalah gangguan mimpi buruk (Nightmare disorder), gangguan terror tidur (Sleep terror disorder) dan tidur berjalan (Sleep walking disorder)  atau dikenali sebagai Jalu bagi Masyarakat Melayu.
Keperluan jangka masa dan jam tidur  juga adalah berbeza mengikut peringkat umur. Menurut National Sleep Foundation, Keperluan tidur berbeza-beza di seluruh peringkat umur  dan memberi kesan terutamanya oleh gaya hidup dan kesihatan. Untuk menentukan berapa banyak tidur yang diperlukan, bukan sahaja keperluan tidur,  tetapi juga untuk mengenal pasti  gaya hidup dan faktor yang mempengaruhi kualiti dan kuantiti tidur itu sendiri. (Foundation, 2015)


Fungsi Tidur

Jika dilihat dari sudut neurosains, tidur mempunyai fungsi yang sangat penting pada manusia dan mempunyai prosesnya tersendiri. Proses bermula Impuls Saraf bergerak dan berhubung dengan sel-sel otak yang lain, kemudian sejenis kimia terhasil Neurotransmitter . seterusnya pembentukan Monoamine Neurotransmitter dan menghasilkan hormon Melatonin yang akan menyebabkan individu itu mengantuk dan seterusnya berkeinginan untuk tidur.

Terdapat banyak penelitian yang dijalankan untuk mengkaji berkenaan tidur, fungsi dan kesannya. Di antara teori yang dikemukakan adalah Teori Restorasi (Restoration Theory Of Sleep). Oswald mencadangkan bahawa tidur diperlukan jenis tidur bagi memulihkan fungsi biologi yang berbeza. Rapid Eye Movement (REM) berfungsi untuk pertumbuhan otak, pembaikan dan penyusunan semula. Slow Wave Sleep (SWS) berfungsi untuk pertumbuhan badan dan pembaikan. Horne memperluaskan lagi teori Oswald ini. Beliau mencadangkan bahawa tidur dibahagikan ke dalam tidur teras (REM dan SWS) dan pilihan tidur. Beliau mencadangkan bahawa pemulihan otak dan membaiki berlaku semasa tidur teras. Pemulihan badan berlaku semasa tidur pilihan, tetapi juga boleh berlaku pada masa yang lain contohnya ketika santai. (psychlotron, 2005-2008)

Teori ini boleh dianalogikan dengan Kereta. Kereta yang digunakan perlu diselenggara dengan baik dan mengikut waktu yang ditetapkan. Jika kereta tidak, ia masih boleh digunakan, namun akan mengalami kerosakan bermula dari kecil sehingga yang lebih parah.

Berdasarkan Teori Restorasi ini, terdapat enam fungsi utama dalam tidur. Pertama adalah pembaikan dan pemulihan sel otak. Apabila tidur, otak manusia akan lebih berehat dan memperbaiki neuron-neuron yang rosak. Tidur juga akan menjadikan sel-sel otak segar dan kembali berhubung antara sel-sel otak yang jarang digunakan. Ketika tidur, proses penyimpanan maklumat di dalam otak juga berlaku.

Kedua adalah Menyusun semula memori. Tidur memberi kesempatan kepada otak untuk menyusun semula data-data atau memori terhadap sesuatu perkara. Ini biasa terjadi contohnya, apabila seseorang individu itu terlalu rungsing  mengenai sesuatu perkara, dan kemudian tidur, apabila sedar keadaan individu tersebut akan lebih segar dan mungkin mempunyai idea-idea berkenaan perkara yang merungsingkan tersebut. Ini kerana apabila tidur gelombang otak berada pada tahap yang sangat tenang dan teratur. Selain itu tidur juga dapat membantu memelihara daya ingatan seseorang individu itu.

Ketiga adalah meningkatkan energi. Tidur boleh menghasilkan metabolisma tubuh dan ketika ini tenaga yang digunakan sangat rendah. Oleh yang demikian ia dapat melancarkan proses metabolisma karbohidrat di dalam tubuh. Kerana itu apabila individu letih memerlukan tidur, dan akan lebih bertenaga selepas itu. Ini juga kerana tidur memulihkan pusingan biologi dalam badan manusia, serta meningkatkan produktiviti.

Keempat  adalah berkaitan sistem kardiovaskular. Tidur dapat mengurangkan risiko serangan jantung. hasil dari penelitian para ilmuan dalam bidang ini mendapatkan bahawa ketika tidur, tekanan darah akan berkurang sebanyak 20-30%, manakala kadar denyutan jantung berkurang sebanyak 10-20%.  Oleh yang demikian tidur dapat meningkatkan tahap kesihatan.

Kelima adalah berfungsi untuk memperbaiki enzim dan otot-otot pada tubuh. Ketika tidur, sel-selyang telah lama atau rosak akan digantikan dengan sel yang baru. Proses penyembuhan lebih cepat berlaku ketika tidur. Ketika tidur, hormon penyembuhan semula jadi manusia akan berlaku.(Chek, 2006). Ini kerana ketika tidur hormon Melatonin akan memainkan peranan.

Keenam adalah tidur berfungsi menghasilkan hormon. Ketika tidur hormon dihasilkan dalam darah. Sebagai contoh hormon pertumbuhan kanak-kanak dan remaja berperanan dalam pencapaian kematangan dan reproduksi dihasilkan ketika tidur.

Selain daripada teori di atas. Terdapat juga kajian yang dijalankan oleh seorang ilmuan barat, Reut Gruber  (Gruber, 2012)mengenai fungsi tidur dan kesan terhadap sistem pembelajaran kanak-kanak dan remaja. Pertama tidur berfungsi meningkatkan memori dalam berkaitan pembelajaran yang dipelajari. Ketika tidur hubungan anatara pembelajaran baru diaktifkan. Kedua tidur meningkatkan kejayaan akademik dan fungsitingkahlaku pelajar. Ini dapat dibuktikan dengan pelajar yang kurang tidur, kurang aktif pada sesi pembelajaran  berbanding dengan pelajar yang mendapatkan tidur dengan cukup. Ketiga, tidur berfungsi untuk menyeimbangkan emosi, tekanan dan rangsangan. Kurang tidur akan merosakkan kesihatan fizikal mahupun emosi.

Menurut Richard H.Hall (Hall, 1998), umumnya tidur berfungsi sebagai satu proses rehat dan pemulihan badan manusia. Tetapi, tidur juga sangat memainkan peranan penting dalam fungsi rehat dan rawat pada otak manusia. Aliran darah akan berkurangan ke otak secara mendadak ketika individu tidur pada tahap gelombang delta.

           Fungsi Tidur pada saat Rapid Eye Movement (REM) akan mempengaruhi hubungan baru antara korteks dan sistem neuroendokrin yang menuju ke otak. Manakala pada fasa Non Rapid Eye Movement(NREM) lebih kepada fungsi memadamkan dan menggantikan memori dan sinaps yang berlebihan di otak. Ketika ini juga sistem aliran darah ke seluruh otak semakin menurun.

Rujukan

Abdul Mujib , Jusuh Mudzakir. (2001). Nuansa-Nuansa Psikologi Islam. Jakarta: PT Raja Grafindo Persada.

Asha Angela Bogenfurst, Dr Wong Huey Siew, Noor Hassline Mohamed. (2013). Intoduction To Psychology. Kuala Lumpur: Open University Malaysia.

Chek, M. R. (2006). Kuasa Minda Separa Sedar. Kuala Lumpur: PTS Publishing House.

Colman, A. M. (2014). Dictionary Of Psychology. New York: Oxford University Press.

Drever, J. (1968). A Dictionory Of Psychology. Maryland: Penguin Books.

Foundation, N. S. (7 Jun, 2015). How Much Sleep Do We Really Need? Arlington, Arlington, USA, USA.

Gruber, R. (2012). The Relevance of sleep to education for children and Adolescent. Canadian Psychology , 63.

Hall, R. H. (1998). Functions Of Sleeps.

Mohamed, M. N. (2014). Pengantar Psikologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.

Psychlotron. (2005-2008). http://www.psychlotron.org.uk/. Retrieved 7 Jun, 2015, from www.psychlotron.org.uk: http://www.psychlotron.org.uk/resources/sleep/A2_AQA_sleep_restorationtheory.pdf

Toyyarah, D. N. (2009). Mausuah al-I'jazil Qurani Fil UlumWat Tib Wal Falak. Beirut: Dar al khair.

Tiada ulasan: