~Learning Have No Quota~ Keep Learning As Long As U Can~ Stay Humble + Positive ~ respect others~ Always Sharing~ Be Honest And Be Thankful ~AdidRashid~

Selasa, 5 April 2016

Kenapa Vs Bagaimana?



Kenapa Vs Bagaimana?

Sedar atau tidak dalam hidup kita ini perkataan “KENAPA” sering terpacul keluar apabila kita sedang beremosi. Kita kerap kali mempersoalkan kenapa?kenapa?dan kenapa? Walaupun terkadang tiada jawapan untuk persoalan itu, kita masih lagi terus terusan mempersoalkannya. Sama ada kepada individu lain ataupun sekadar bermonolog! Semakin kita mempersoalkan “KENAPA”, emosi kita turut semakin tidak tentu hala umpama kapal yang tiada layar.

Apabila kita diuji atau ditimpa musibah yang berlegar di minda kita paling tidak pun adalah perkataan ini, “Ya Allah kenapalah aku diuji sebegini?” atau “Kenapa mesti aku?” dan banyak lagi ungkapan yang hanya menambah kesedihan dihati.
Akibat daripada  terlalu taksub dengan perkataan kenapa ini, akhirnya diri sendiri yang menjeruk rasa. Kerana Apa? Kerana, “KENAPA” tidak akan membawa kita kemana-mana Malah hanya merintih dan seolah-oleh membawa jiwa kita mengenangkan peristiwa-peristiwa yang mengundang persoalan “KENAPA”?

Sedangkan dalam kitab suci AlQuran ada menyebut, bahawa Allah tidak akan membebankan hambanya di luar kemampuannya untuk menanggung. Apabila berpegang pada ayat ini adakah perlu kita mempersoalkan “KENAPA”? Oleh itu lebih baik apabila kita sedang diuji atau dilanda musibah, kita tidak perlu mempersoalkan “KENAPA”? Sebaliknya kita tukarkan kepada “BAGAIMANA”?
Contohnya apabila kita diuji, jika kita sebelum ini Kita akan berkata “Ya Allah kenapalah aku diuji sebegini?” maka cuba kita tukar kepada “Ya Allah Bagaimana cara untuk aku menghadapi ujian ini?”

Dengan menukar perkataan “Kenapa?” kepada “Bagaimana?”, ia bukan sahaja melatih emosi kita supaya lebih tenang, bahkan memberi  ruang kepada akal kita untuk berfikir apa yang perlu dilakukan, bukan apa yang telah berlaku. Bukankan itu lebih baik?dan bukankan itu yang akan lebih membuka jalan, member ruang dan peluang kepada kita untuk lebih ikhlas menerima segala yang datang dariNya.

Oleh itu latihlah diri kita untuk mencari ruang dan peluang disebalik semua yang terjadi. Pandanglah setiap yang diaturkan olehNya dari sudut yang positif. Jangan biarkan diri kita tenggelam disebalik kekecewaan sehingga lupa segala nikmat kehidupan yang lainnya. Yakinlah pada janji ALLAH, akan ada kemudahan selepas kesulitan.

“…Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”(Surah al-Insyirah: 5-6)

Sekian. Wassalam.