~Learning Have No Quota~ Keep Learning As Long As U Can~ Stay Humble + Positive ~ respect others~ Always Sharing~ Be Honest And Be Thankful ~AdidRashid~

Sabtu, 2 Mei 2015

Baka dan Persekitaran Membentuk kanak-kanak (Psikologi Kanak-kanak)



BAKA DAN PERSEKITARAN BERINTERAKSI MEMBENTUK SESEORANG KANAK-KANAK.

Terdapat tiga elemen dan konsep utama dalam baka dan persekitaran berinteraksi dalam pembangunan dan pembentukan seseorang kanak-kanak. ia adalah Reaction Range atau Reaksi Pelbagai, Canalisation, korelasi genetik-persekitaran dan persekitaran yang mempengaruhi ekspresi gen (Choo, 2012).
Reaction range merujuk kepada setiap manusia adalah unik. Secara semula jadi ia akan memberi tindak balas  kepada persekitaran. Gen yang tidak sesuai dengan tingkah laku dalam sesuatu keadaan boleh mewujudkan pelbagai kemungkinan yang bergantung sepenuhnya kepada keadaan persekitarannya. Dua perkara penting dalam Reaction Range (Choo, 2012) adalah, pertama, tindak balas terhadap persekitaran yang sama bagi individu yang berlainan adalah berbeza. Ini kerana setiap individu yang mempunyai genetik yang unik. Kedua, kadangkala perbezaan antara genetik dan persekitaran menjadikan dua individu yang berlainan kelihatan sama. Oleh yang demikian Reaction Range menunjukkan bahawa gabungan unik antara baka dan persekitaran boleh mendorong persamaan dan perbezaan dalam pembentukan tingkah laku.
Sebagai contoh, jika seorang kanak-kanak lahir di dalam persekitaran yang miskin, genetik mereka boleh meletakkan had khusus kepada sejauh mana kebolehan kognitif mereka boleh berkembang. Kanak-kanak ini mungkin menunjukkan keupayaan yang sangat rendah di bawah persekitaran yang miskin, dan tahap keupayaan yang hanya sedikit lebih tinggi dengan pencapaian di bawah persekitaran yang lebih mewah atau kaya. Dalam kes ini, kita akan berkata kanak-kanak mempunyai Reaction Range yang kecil. Berbanding dengan seorang lagi kanak-kanak dengan genetik yang berlainan boleh menyesuaikan sedikit lebih baik dalam persekitaran yang miskin tetapi amat baik dalam persekitaran yang mewah atau kaya. Kanak-kanak ini akan menunjukkan Reaction Range yang lebih besar dalam bertindak balas.
Canalisation merupakan metafora untuk melihat bagaimana baka boleh menyekat perkembangan terhadap sesuatu trait. (Choo, 2012). Ia merupakan kebolehan baka dalam menyekat beberapa perkembangan sesuatu watak kepada satu atau beberapa hasil. Contohnya, setiap bayi akan mengikuti fasa seperti duduk merangkak dan berjalan, namun tahap kognitif dan personaliti berubah bergantung pada persekitaran.                                                                                                                         
 Korelasi genetik-persekitaran pula merujuk kepada bagaimana genetik individu mempengaruhi persekitaran di mana kita terdedah dan cara bagaimana ia berubah mengikut umur (Choo, 2012). Ia mempunyai tiga konsep yang dikenali sebagai Korelasi Pasif, Korelasi Evocative , dan juga korelasi aktif. Korelasi pasif adalah terjadi ketika ibu bapa menentukan persekitaran yang tertentu untuknya. Sebagai contoh jika ibu bapa mempunyai bakat dalam lukisan, maka persekitaran dibentuk mengikut bakat genetik dan seterusnya mempengaruhi perkembangan anaknya. Korelasi evocative terjadi ketika karakteristik anak membangkitkan jenis lingkungan tertentu. Sebagai contoh, bayi yang aktif dan mesra lebih mudah mendapat dorongan yang positif dan galakan dari ibu bapanya. korelasi aktif pula terjadi ketika anak-anak mencari atau memilih lingkungan yang mereka rasakan sesuai dan mengikut minat. Contohnya kanak-kanak yang mempunyai genetik dan bakat dalam penulisan akan cenderung memilih aktiviti yang sama di sekolah.
Persekitaran mempengaruhi ekspresi genetik pula membawa maksud persekitaran juga boleh mengubah atau mempengaruhi aktor genetik ia termasuk faktor-faktor seperti hormon dan metabolisme. Satu pengaruh persekitaran dalaman utama yang memberi kesan gen adalah jantina.  Begitu juga, ubat-ubatan, bahan kimia, suhu, dan cahaya adalah antara faktor persekitaran luaran yang boleh menentukan gen dihidupkan dan dimatikan, Maka inilah yang dimaksudkan dengan persekitaran mempengaruhi ekspresi genetik.
Interaksi antara baka dan persekitaran sangat penting dalam pembentukan seseorang kanak-kanak. Ini kerana baka menentukan had perkembangan manakala persekitaran pula akan mempengaruhi dan membantu individu dalam mencapai tahap perkembangan yang optimum. Genetik dan persekitaran yang berbeza akan membentuk personaliti kanak-kanak yang berbeza. Sebagai contoh, jika seorang kanak-kanak lahir dalam keluarga yang mengambil bidang perubatan, dengan faktor genetik kepintaran baka itu, kanak-kanak boleh mengikut jejak langkah ibu bapanya. Namun, jika dia tidak diberi pendedahan tentang bidang perubatan, sebaliknya ibu bapa membentuk persekitaran lain atau kecenderungan di sekolah adalah berbeza. Ada kemungkinan besar  kanak-kanak tersebut tidak memilih bidang perubatan. Walaupun baka memainkan peranan penting, namun perlu juga persekitaran untuk memberi pendidikan atau tarbiah kepada anak-anak. Sesetengah kanak-kanak sememangnya dilahirkan dengan IQ yang tinggi. Namun tidak bererti mereka yang tidak dilahirkan dengan IQ yang tinggi tidak boleh berjaya dan tidak boleh mencapai IQ yang tinggi. Di sinilah faktor persekitaran memainkan peranannya.

 

 PERSEKITARAN BOLEH MEMBENTUK PERKEMBANGAN ANAK ANDA.

            Persekitaran yang baik sangat penting dalam membentuk perkembangan anak-anak. Seperti yang kita sedia maklum, baka sememangnya mempengaruhi pertumbuhan, namun ia kurang berpengaruh terhadap perkembangan. Persekitaran pula mempengaruhi kedua-duanya sekali. Antara tokoh yang mengkaji secara mendalam tentang faktor persekitaran adalah Urie Bronfenbrenner. Beliau terkenal dengan teori ekologi  (Hq, 2015), iaitu perkaitan antara pengaruh persekitaran dengan tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak. Dalam teori ini terdapat lima peringkat yang mempengaruhi ekologi itu sendiri. (a) sistem makro (b) sistem messo (c) sistem ekso (d) sistem makro dan (e) sistem krono.

               Sistem makro adalah di mana seseorang kanak-kanak  itu banyak menghabiskan masanya. Dalam ruangan ini kanak-kanak berinteraksi secara langsung dengan ahli keluarga terdekat, seperti ibu bapa, adik-beradik, rakan sekolah, jiran-jiran, rakan sebaya dan juga masyarakat setempat. Sistem messo pula adalah melihat kepada bagaimana kanak-kanak berinteraksi dan mengaitkan pengalaman sendiri kepada komuniti. Di ruangan ini interaksi pelbagai hala akan berlaku. Sistem ekso pula merujuk kepada pengalaman yang diterima secara langsung mahupun tidak kanak-kanak tersebut. Sistem makro adalah melibatkan sosio-budaya yang lebih luas. Di sini budaya, norma, nilai dan kepercayaan individu memainkan peranan. Yang terakhir adalah sistem krono iaitu merujuk kepada sejarah dan kronologi pengalaman perkembangan kanak-kanak yang memberi impak kepada perkembangan emosi.

           Asyraf, anak yang berusia 5 tahun. Merupakan seorang kanak-kanak yang bijak dan cepat belajar melalui persekitaran. Asyraf juga seorang yang mudah mesra dengan individu yang menunjukkan kemesraan kepada beliau. Mempunyai fizikal yang agak berisi, faktor pemakanan amat dititikberatkan. Beliau menunjukkan ciri-ciri berani mencuba sesuatu yang baru dan suka meneroka keadaan sekeliling dan pandai menguruskan diri sendiri. Beliau juga akan menurut perintah seandainya ibu bapa atau sesiapa saja meminta pertolongan.  Asyraf juga mempunyai seorang adik yang berusia 3 tahun. Beliau menunjukkan sikap tanggungjawab terhadap adiknya. Namun ada kalanya beliau tidak mengendahkan adiknya. Keletah dan kemesraan beliau terhadap individu-individu sekeliling membuatkan dia begitu disenangi. Beliau menunjukkan ciri yakin diri dan mempunyai self-esteem yang tinggi. Walau bagaimanapun, persekitaran kejiranan dan rakan sepermainan yang lebih besar dari usianya membuatkan Asyraf terikut-ikut dengan penggunaan bahasa yang tidak sihat. Berlatarbelakangkan keluarga yang sememangnya berniaga dan kerap berkomunikasi dengan orang ramai, menjadikan Asyraf secara genetik sememangnya mudah mesra. Faktor persekitaran pula yang membentuk Asyraf menjadi lebih bijak adalah, mempunyai ibu bapa yang membentuk persekitaran yang sesuai. Seterusnya faktor pembelajaran sama ada secara langsung atau tidak, secara formal atau tidak, telah membentuk watak dan trait personaliti beliau. Sistem pelaksanaan peraturan dipraktikkan dalam keluarga. Oleh yang demikian, sekiranya anak ini ada membuat kesilapan, maka peneguhan negatif atau hukuman akan dikenakan bersesuaian dengan keadaan.  Ini adalah bagi membentuk disiplin anak ini. Faktor sosio-ekonomi juga menjadi faktor persekitaran yang menyumbang kepada pembentukan anak ini. Ini kerana Asyraf lebih terdedah kepada persekitaran luaran. Seperti ke pusat-pusat membeli belah, restoran-restoran, dan pelbagai aktiviti luaran yang menjadikan beliau terdedah kepada persekitaran umum dan seterusnya belajar melalui pemerhatian. Cara didikan dan asuhan juga sangat penting, penerapan nilai-nilai dan akhlak yang mulia perlu sejak dari awal perkembangan. 

           Berbanding dengan Asyraf, Rina yang usianya sama seperti Asyraf tidak begitu bernasib baik. Ini kerana, latar belakang keluarga yang agak bermasalah dan tidak teratur. taraf ekonomi yang rendah, mempunyai adik-beradik yang ramai, tinggal di kawasan kampung yang agak jauh dari bandar menjadikan Rina seorang kanak-kanak yang pasif. Apabila bertemu saudara mara mahupun sepupu yang dalam lingkaran umur yang sama, Rina lebih gemar mendiamkan diri. Beliau tidak akan bercakap dengan individu yang kurang rapat dengannya, kecuali setelah mengambil masa yang agak lama untuk mewujudkan kepercayaan seterusnya keselesaan. Kebergantungan Rina terhadap ibunya sangat tinggi. Ini kerana dalam keadaan keluarga yang ramai dan ibu bapa yang mempunyai masalah perhubungan, ini menyebabkan Rina tidak rapat dengan bapanya. Selain itu beliau juga mempunyai self-esteem yang rendah. Apabila Rina dibawa ke bandar oleh saudara maranya, jelas kelihatan beliau agak janggal dan tidak biasa dengan persekitaran luar. Naluri kanak-kanaknya akan terserlah dan beliau merasa teruja. Oleh sebab Rina tidak didedahkan dengan persekitaran luar sosial, sebagai contoh, apabila ke restoran KFC beliau tidak tahu apa jenis makanan yang beliau inginkan dan hanya menerima apa sahaja yang diberikan kepada beliau. Dari segi emosi, Rina merupakan kanak-kanak yang mudah tersentuh. Ini mungkin disebabkan persekitaran dalam rumah di mana beliau kerap melihat ibu dan bapanya bergaduh. Dari segi perkembangan kognitif pula Rina mempunyai masalah pada tahap pembelajaran mengikut tahap umurnya. Fizikal Rina juga tidak seimbang, ini mungkin kerana faktor pemakanan sihat yang tidak dijaga.

           Dalam situasi ini, Asyraf lebih bernasib baik dari Rina. Persekitaran membentuk personaliti dan pembawaan diri mereka. Persekitaran yang baik membentuk anak-anak ke arah yang lebih positif dan unggul berbanding sebaliknya. Persekitaran yang tidak sihat akan menjadikan kanak-kanak lebih pasif dan memberi kesan negatif dalam jangka masa panjang. Maka apabila ibu bapa sedar tentang perkara ini, berusahalah untuk mencipta persekitaran yang sihat.

           Kesimpulannya, faktor baka dan faktor persekitaran sangat berkait rapat dalam pertubuhan dan perkembangan manusia. Kedua-dua faktor ini tidak dapat dipisahkan kerana setiap daripadanya menyumbang ke arah membentuk seseorang individu. Untuk menjadi individu dan membentuk kanak-kanak yang holistik, kedua, dua faktor ini perlu sama dititikberatkan tanpa dipisahkan. Ini kerana baka dan persekitaran berinteraksi antara satu sama  lain dan saling melengkapi seseorang individu.
          
          Faktor baka sememangnya diwarisi, maka ia akan menjadi bawaan pada kanak-kanak. Namun untuk membentuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak yang baik maka persekitaran yang baik juga diperlukan. Persekitaran merupakan faktor luaran yang boleh diubah mengikut kesesuaian keadaan. Ia tidak seperti faktor baka yang sememangnya menjadi genetik. Sebagai contoh, kanak-kanak yang mempunyai bapa seorang yang pemarah akan mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk mendapat sifat yang sama. Namun sifat negatif ini boleh diatasi faktor persekitaran, seperti  pembelajaran dan sebagainya.
           
       Institusi keluarga terutama peranan ibu bapa sangat penting bagi memastikan pembentukan kanak-kanak berlangsung dalam keadaan yang baik. Ilmu keibubapaan perlu bagi menyediakan mereka menghadapi proses tumbesaran kanak-kanak. Apabila ibu bapa mencipta dan mencorakkan persekitaran yang proaktif, maka kanak-kanak akan membentuk dan berkembang menjadi manusia unggul.

Rujukan


Choo, O. Y. (2012). Child Psychology. Selangor: Open University Malaysia.

Hq, P. (2015). http://www.psychologynoteshq.com/bronfenbrenner-ecological-theory/. Retrieved November 1, 2015, from www.psychologynoteshq.com.

Keenan, T. (2002). An Inroduction of Child development. London: Sage Publications LTD.

Kellert, S. R. (2002). Experiencing heredity and environment Affective, emotion and evaluative development in children. Child and Nature , 121-147.


Selasa, 21 April 2015

Tidur dan Fungsinya Kepada Manusia



Apa Itu Tidur

Secara umumnya tidur merupakan fasa rehat minda dan tubuh badan di mana individu itu berada pada keadaan tidak sedar. Reaksi pada rangsangan sekeliling akan menurun atau hilang. Namun seseorang individu itu akan kembali sedar dalam tempoh tertentu. Tidur juga  amat berkait rapat untuk menjaga keseimbangan emosi, fisiologi pemikiran, tingkah laku juga kesihatan seseorang individu.
Terdapat pelbagai definisi tidur. Menurut James Drever di dalam A dictionary of psychology, Sleep is A physiological state, not clearly understood, of relative immobility and failure of adequate conscious response to stimuli. (Drever, 1968)
Jika dirujuk kepada Kamus Psikologi Oxford pula tidur membawa maksud “ A Periodic state of muscular  relaxations, reduce metabolic rate, suspended consciousness in which a person largely unresponsive to event in the environment. (Colman, 2014)

Menurut perspektif Islam, tidur adalah sunah dan rahmat Allah S.W.T. Tidur Dianugerahkan kepada manusia keadaan fizikal seseorang manusia itu lemah dan terbatas. Oleh yang demikian tidur diperlukan untuk memulihkan stamina. (Abdul Mujib , Jusuh Mudzakir, 2001). Firman Allah S.W.T dalam surah An-Naba, ayat 9 bermaksud “dan kami telah jadikan tidurmu untuk istirahat”. Ayat ini jelas menunjukkan betapa tidur itu mempunyai kepentingan bagi setiap manusia.

Terdapat dua teori utama berkenaan dengan tidur. Pertama adalah Teori Pembaikan atau Pemulihan. Kedua adalah teori Evolusi atau Circadian. (Asha Angela Bogenfurst, Dr Wong Huey Siew, Noor Hassline Mohamed, 2013). Teori Pembaikan atau pemulihan menjelaskan bahawa tidur membantu individu untuk pulih dari keletihan fizikal, mental dan cabaran emosi. Manakala menurut Teori Evolusi atau Circadian, tidur merupakan sebahagian daripada ritma biologi dan berkembang sebagai satu cara menjimatkan tenaga. Teori ini menjelaskan spesis yang berbeza menghasilkan pola dan corak tidur yang berbeza.

Tidur mempunyai lima peringkat. Di mana setiap peringkat mempunyai proses-proses yang tertentu. Peringkat ini dibahagiakan kepada dua fasa. Pertama adalah fasa Non Rapid Eye Movement (NREM). Tidur Peringkat pertama sehingga ke empat termasuk ke dalam fasa ini. Kedua adalah fasa Rapid Eye Movement (REM), peringkat terakhir iaitu yang kelima dikategorikan dalam fasa ini.

Peringkat pertama menunjukkan proses  tidur itu bermula, iaitu antara 1 hingga 10 minit pertama. Pada ketika ini suhu badan, kadar jantung dan ketegangan otot mula menurun. Ketika ini jika terdapat rangsangan ringan seperti bunyi-bunyian, ia boleh mengejutkan tidur seseorang. Peringkat ke-2 antara minit 10 hingga 25. Gelombang pada otak mula berubah. Tidur menjadi lebih lena. Pada peringkat ini juga dikenali sebagai “Nap Time”. Pada peringkat ini juga, rangsangan ringan boleh membuatkan individu terjaga. Pada peringkat ke-3, kebiasaannya minit ke-30 dan seterusnya. Tidur menjadi lebih nyenyak. Pada peringkat ini, hanya rangsangan yang kuat sahaja akan membuatkan individu terjaga. Peringkat Ke-4  fungsi badan lebih direhatkan ,pernafasan menjadi lebih perlahan dan terkawal. Pada peringkat ini tidur paling nyenyak. Ke empat-empat peringkat di atas termasuk dalam fasa Non Rapid Eye Movement (NREM). Peringkat ke-5, adalah peringkat di mana mata mula bergerak-gerak mengikut gelombang otak. Namun pada saat ini tubuh tidak bergerak. pada peringkat ini juga mimpi berlaku. Kebiasaannya seseorang individu mengambil masa 2 jam sebelum sampai ke peringkat ini.

Tidak semua individu dapat tidur dengan sempurna. Terdapat 2 kategori utama kecelaruan tidur menurut Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM), iaitu Dissomnia dan Parasomnia.
Kecelaruan tidur di bawah kategori Dissomnia adalah Insomnia, Hipersomnia, narcolepsy dan Sleep Apnea. Manakala di bawah kategori Parasomnia adalah gangguan mimpi buruk (Nightmare disorder), gangguan terror tidur (Sleep terror disorder) dan tidur berjalan (Sleep walking disorder)  atau dikenali sebagai Jalu bagi Masyarakat Melayu.
Keperluan jangka masa dan jam tidur  juga adalah berbeza mengikut peringkat umur. Menurut National Sleep Foundation, Keperluan tidur berbeza-beza di seluruh peringkat umur  dan memberi kesan terutamanya oleh gaya hidup dan kesihatan. Untuk menentukan berapa banyak tidur yang diperlukan, bukan sahaja keperluan tidur,  tetapi juga untuk mengenal pasti  gaya hidup dan faktor yang mempengaruhi kualiti dan kuantiti tidur itu sendiri. (Foundation, 2015)


Fungsi Tidur

Jika dilihat dari sudut neurosains, tidur mempunyai fungsi yang sangat penting pada manusia dan mempunyai prosesnya tersendiri. Proses bermula Impuls Saraf bergerak dan berhubung dengan sel-sel otak yang lain, kemudian sejenis kimia terhasil Neurotransmitter . seterusnya pembentukan Monoamine Neurotransmitter dan menghasilkan hormon Melatonin yang akan menyebabkan individu itu mengantuk dan seterusnya berkeinginan untuk tidur.

Terdapat banyak penelitian yang dijalankan untuk mengkaji berkenaan tidur, fungsi dan kesannya. Di antara teori yang dikemukakan adalah Teori Restorasi (Restoration Theory Of Sleep). Oswald mencadangkan bahawa tidur diperlukan jenis tidur bagi memulihkan fungsi biologi yang berbeza. Rapid Eye Movement (REM) berfungsi untuk pertumbuhan otak, pembaikan dan penyusunan semula. Slow Wave Sleep (SWS) berfungsi untuk pertumbuhan badan dan pembaikan. Horne memperluaskan lagi teori Oswald ini. Beliau mencadangkan bahawa tidur dibahagikan ke dalam tidur teras (REM dan SWS) dan pilihan tidur. Beliau mencadangkan bahawa pemulihan otak dan membaiki berlaku semasa tidur teras. Pemulihan badan berlaku semasa tidur pilihan, tetapi juga boleh berlaku pada masa yang lain contohnya ketika santai. (psychlotron, 2005-2008)

Teori ini boleh dianalogikan dengan Kereta. Kereta yang digunakan perlu diselenggara dengan baik dan mengikut waktu yang ditetapkan. Jika kereta tidak, ia masih boleh digunakan, namun akan mengalami kerosakan bermula dari kecil sehingga yang lebih parah.

Berdasarkan Teori Restorasi ini, terdapat enam fungsi utama dalam tidur. Pertama adalah pembaikan dan pemulihan sel otak. Apabila tidur, otak manusia akan lebih berehat dan memperbaiki neuron-neuron yang rosak. Tidur juga akan menjadikan sel-sel otak segar dan kembali berhubung antara sel-sel otak yang jarang digunakan. Ketika tidur, proses penyimpanan maklumat di dalam otak juga berlaku.

Kedua adalah Menyusun semula memori. Tidur memberi kesempatan kepada otak untuk menyusun semula data-data atau memori terhadap sesuatu perkara. Ini biasa terjadi contohnya, apabila seseorang individu itu terlalu rungsing  mengenai sesuatu perkara, dan kemudian tidur, apabila sedar keadaan individu tersebut akan lebih segar dan mungkin mempunyai idea-idea berkenaan perkara yang merungsingkan tersebut. Ini kerana apabila tidur gelombang otak berada pada tahap yang sangat tenang dan teratur. Selain itu tidur juga dapat membantu memelihara daya ingatan seseorang individu itu.

Ketiga adalah meningkatkan energi. Tidur boleh menghasilkan metabolisma tubuh dan ketika ini tenaga yang digunakan sangat rendah. Oleh yang demikian ia dapat melancarkan proses metabolisma karbohidrat di dalam tubuh. Kerana itu apabila individu letih memerlukan tidur, dan akan lebih bertenaga selepas itu. Ini juga kerana tidur memulihkan pusingan biologi dalam badan manusia, serta meningkatkan produktiviti.

Keempat  adalah berkaitan sistem kardiovaskular. Tidur dapat mengurangkan risiko serangan jantung. hasil dari penelitian para ilmuan dalam bidang ini mendapatkan bahawa ketika tidur, tekanan darah akan berkurang sebanyak 20-30%, manakala kadar denyutan jantung berkurang sebanyak 10-20%.  Oleh yang demikian tidur dapat meningkatkan tahap kesihatan.

Kelima adalah berfungsi untuk memperbaiki enzim dan otot-otot pada tubuh. Ketika tidur, sel-selyang telah lama atau rosak akan digantikan dengan sel yang baru. Proses penyembuhan lebih cepat berlaku ketika tidur. Ketika tidur, hormon penyembuhan semula jadi manusia akan berlaku.(Chek, 2006). Ini kerana ketika tidur hormon Melatonin akan memainkan peranan.

Keenam adalah tidur berfungsi menghasilkan hormon. Ketika tidur hormon dihasilkan dalam darah. Sebagai contoh hormon pertumbuhan kanak-kanak dan remaja berperanan dalam pencapaian kematangan dan reproduksi dihasilkan ketika tidur.

Selain daripada teori di atas. Terdapat juga kajian yang dijalankan oleh seorang ilmuan barat, Reut Gruber  (Gruber, 2012)mengenai fungsi tidur dan kesan terhadap sistem pembelajaran kanak-kanak dan remaja. Pertama tidur berfungsi meningkatkan memori dalam berkaitan pembelajaran yang dipelajari. Ketika tidur hubungan anatara pembelajaran baru diaktifkan. Kedua tidur meningkatkan kejayaan akademik dan fungsitingkahlaku pelajar. Ini dapat dibuktikan dengan pelajar yang kurang tidur, kurang aktif pada sesi pembelajaran  berbanding dengan pelajar yang mendapatkan tidur dengan cukup. Ketiga, tidur berfungsi untuk menyeimbangkan emosi, tekanan dan rangsangan. Kurang tidur akan merosakkan kesihatan fizikal mahupun emosi.

Menurut Richard H.Hall (Hall, 1998), umumnya tidur berfungsi sebagai satu proses rehat dan pemulihan badan manusia. Tetapi, tidur juga sangat memainkan peranan penting dalam fungsi rehat dan rawat pada otak manusia. Aliran darah akan berkurangan ke otak secara mendadak ketika individu tidur pada tahap gelombang delta.

           Fungsi Tidur pada saat Rapid Eye Movement (REM) akan mempengaruhi hubungan baru antara korteks dan sistem neuroendokrin yang menuju ke otak. Manakala pada fasa Non Rapid Eye Movement(NREM) lebih kepada fungsi memadamkan dan menggantikan memori dan sinaps yang berlebihan di otak. Ketika ini juga sistem aliran darah ke seluruh otak semakin menurun.

Rujukan

Abdul Mujib , Jusuh Mudzakir. (2001). Nuansa-Nuansa Psikologi Islam. Jakarta: PT Raja Grafindo Persada.

Asha Angela Bogenfurst, Dr Wong Huey Siew, Noor Hassline Mohamed. (2013). Intoduction To Psychology. Kuala Lumpur: Open University Malaysia.

Chek, M. R. (2006). Kuasa Minda Separa Sedar. Kuala Lumpur: PTS Publishing House.

Colman, A. M. (2014). Dictionary Of Psychology. New York: Oxford University Press.

Drever, J. (1968). A Dictionory Of Psychology. Maryland: Penguin Books.

Foundation, N. S. (7 Jun, 2015). How Much Sleep Do We Really Need? Arlington, Arlington, USA, USA.

Gruber, R. (2012). The Relevance of sleep to education for children and Adolescent. Canadian Psychology , 63.

Hall, R. H. (1998). Functions Of Sleeps.

Mohamed, M. N. (2014). Pengantar Psikologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.

Psychlotron. (2005-2008). http://www.psychlotron.org.uk/. Retrieved 7 Jun, 2015, from www.psychlotron.org.uk: http://www.psychlotron.org.uk/resources/sleep/A2_AQA_sleep_restorationtheory.pdf

Toyyarah, D. N. (2009). Mausuah al-I'jazil Qurani Fil UlumWat Tib Wal Falak. Beirut: Dar al khair.